Nasihat yang baik bak air jernih yang mengalir segar dan menyuburkan hidupan di sekitarnya. Alam menjadi harmoni; flora berbunga indah dan fauna bernyanyi riang dalam suasana alami yang memang sesuai dengan fitrah insani. Nasihat juga umpama cinta yang menghadirkan makna dan rasa kepada jiwa supaya bersih dari dicemari dan mengaburkan pandangan dari jalan Ilahi. Salah seorang tokoh besar yang sering dinantikan nasihatnya ialah Saidina Ali bin Abi Talib. Titipan ‘cinta’nya itu ibarat titisan embun yang menyegarkan dedaunan di padang pasir yang tandus. Jiwa-jiwa yang keresahan dek kerana bahang politik pada zaman itu dapat direda dengan curahan nasihat yang mendinginkan. Empat puluh mutiara kata Saidina Ali bin Abi Talib sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir ini saya namakan Titipan Cinta 17 Ramadan merupakan khazanah ilmu yang perlu dimiliki dan dihayati oleh setiap orang. Sungguhpun mutiara kata tersebut telah lama diungkapkankan, namun ia sentiasa segar dan releven sepanjang zaman.